Tuesday, June 22, 2010

AKAN KU USAHAKAN..

AKU PERLU TARBIAH


Assalamualaikum, Bismillahirrohmanirrohim..




Segala puji-pujian selayaknya buat rabbuljalil, Tuhan sekalian alam. Allah yang Maha Pemurah lagi Maha penyayang kepada hamba-hambanya meskipun hamba-Nya ini sering bermaksiat namun masih lagi diberi kesedaran masuk kembali pada track yang betul. Terima kasih ya Allah, akanku usaha untuk bermujahadah walaupun tewas dan tersungkur banyak kali.




“Dijadikan terasa indah dalam pandangan manusia cinta terhadap apa yang diinginkan, berupa perempuan-perempuan, anak-anak, harta benda yang bertumpuk dalam bentuk emas dan perak, kuda pilihan, haiwan ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup didunia, dan disisi Allah lah tempat kembali yang baik.” (3:14)




Waduh-waduh, bagi kaum lelaki perkara pertama dan selamanya yang diuji adalah kaum perempuan. Daripada sekian banyak perkara yang boleh menewaskan iman orang beriman iaitu harta, pangkat dan sebagainya namun Allah meng ‘highlight’ yang pertama adalah perempuan.




Waktu mula-mula di tarbiah dan mengenali ayat ini saya agak hairan mengapa itu dulu yang Allah letak pada permulaan ayat, ini justeru menjadi tanda tanya yang besar buat diriku.




Mungkin kerana saya tidak merasakan itu ujian yang boleh mmenghakis iman, nauzubillahiminzalik. Saya sejak di sekolah tidak berapa ghairah untuk bercinta apatah lagi hendak bermain perempuan atau ‘playboy’. Mungkin rupa paras yang tidak menarik, namun itu sudah buat aku bersyukur kerana tidak ada cacat cela. Terima kasih ALLAH. Bukan itu saja, untuk berbicara dengan perempuan pun jarang kerana sifat pemalu yang tinggi, Alhamdulillah.




Di alam matrikulasi, saya jadi terkejut atau istilah yang ‘famous’ iaitu ‘culture shock’ waktu orientasi dijalankan. Pada waktu itu lelaki dan perempuan dicampur ketika menjalankan program, entah apa motifnya saya pun tidak tahu, mungkin tidak seronok jika tidak bercampur.




Ketika itu saya sudah mula tertarik untuk melihat perempuan dalam satu kumpulan, saat itu terdetik dalam hati bahawa masih ada perempuan yang secantik ini. Astaghfirullah !, jangan tiru aksi ini adik-adik sekalian..:-)




“Katakanlah kepada laki-laki yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sungguh, Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.” (24:30)




Patut Allah suruh tundukkan pandangan, rupanya tak nak bagi timbul keinginan sebegini.




Selepas orientasi hati saya semakin berbunga untuk mencari teman hidup kononya meskipun rupa tidak lawa, tapi kata orang ayat mesti mau manis. Woha!




Astaghfirullah, ampuniku Ya Allah.




Namun, keinginan ini tidak ku teruskan walaupun kadang-kadang terasa. Pada satu hari saya berjumpa seorang rakan yang pernah saya kenali sewaktu program lepas spm dulu.




Pada permulaan saya tidak perasan kerana raut wajahnya yang berlainan dari dulu mungkin kerana penyakit.




Namun saya beranikan diri untuk menegur, alhamdulillah, tepat tekaan saya bahawa dia adalah insan yang ku kenal dulu.




Sejak dari itu ukhwah mula bertaut dan saya ditemukan lagi dengan beberapa orang rakan yang motif berkawan hanya satu iaitu kerana Allah dan dakwah.




Saya menerima tawaran matrikulasi untuk program dua tahun (PDT), rakan-rakan tadi adalah program satu tahun. Namun tidak ada gap di antara kami dalam berkawan jika nak di bandingkan kawan yang lain. Pdt seolah-olah mempunyai kelompok sendiri.




Walaupun saya agak jahil dengan ilmu agama jika nak dibandingkan dengan rakan-rakan tadi namun digagahi juga untuk ikut serta dalam proses yang dinamakan tarbiah atau usrah. Rupanya baru saya tahu orang-orang macam saya wajib untuk ikut usrah.




Mana tak nya, kalau ‘bodoh’ kena la pergi.




Sejak dari tahun pertama di matrikulasi saya bulatkan tekad untuk hadir secara konsisten ke usrah walaupun komitmen ke riadah, mabit belum konsisten sepenuhnya.




Makin lama ikut saya rasa makin seronok dan bersemangat. Biasalah diawal tarbiah masih belum diuji dengan mehnah dan tribulasi yang berat.




AWAS ! : Jika down cubalah untuk naik kembali.




Saya masa itu memang tidak layan perempuan langsung, kerana tarbiah yang mengikat untuk berakhlak begitu.




Sehinggakan untuk senyum dengan perempuan pun saya jarang sekali, habis dituduh sombong oleh rakan sekelas kerana tidak bertegur sapa dan senyum bila berjumpa atau berselisih di luar kelas.




Pada waktu itu saya merasa kuat kerana ada rakan atau lebih saya kenali dengan ikhwah (saudara lelaki) yang sentiasa memberi semangat jika punya masalah. Ikhwah tidak akan membenarkan saya terjebak dengan cinta palsu.




Saat itu, saya tidak merasakan kebahagiaan melainkan apabila dapat bersama ikhwah. Jika ada mesej daripada sang perempuan yang berbaur cinta atau ke arah itu, pasti ikhwah akan ‘sound' saya hingga menyebabkan nafsu untuk bercinta dengan permpuan luntur ibarat sabun pencuci yang melunturkan kotoran seperti dalam iklan TV.




P/S : Cinta belum sampai waktunya.




Bila naik tahun kedua saya diamanahkan dengan tugasan yang amat berat hinggakan fokus saya mencapah dan tak terkejar. Namun, saya gagahi juga untuk maju ke depan dengan tarbiah yang diyakini.




Pada tahun kedua saya langsung tidak mahu memikirkan soal perempuan kerana fokus saya sudah tidak lagi ke situ walaupun diuji sesekali. Namun sekali lagi Allah mengurniakan ikhwah yang rapat dengan ku supaya menegur.




Begitulah dhoif dan naifnya iman saya. Selepas alam matrikulasi saya melepasi ujian yang Allah nyatakan pada permulaan ayat 14 surah ke 3 dengan bantuan ikhwah-ikhwah.




Ana sayang antum wahai para ikhwah yang ku kenali. Tidak ada insan yang ku cinta lepas Allah, rasul, mak dan abah melainkan kalian.




Di matrikulasi saya telah di beri gambaran awal tentang kehidupan di ipt. Murobbi juga pernah bilang bahawa berapa ramai ikhwah yang keluar usrah apabila masuk di ipt.




Wuish, saya sangat takut dengan ancaman itu. Apatah lagi jika melihat ikhwah yang hebat pada peribadi namun tidak dapat bertahan lama di jalan ini.




Saya dah la tak berapa pandai dan cerdik, apakah saya dapat bertahan dengan prinsip-prinsip ini.




“YA ALLAH, AKU HAMBAMU YANG LEMAH, TUNJUKKAN LAH JALAN YANG LURUS JIKA HATI INI MULA TERPESONG DAN CENDERUNG KEARAH DUNIA.”




Doa yang aku minta kepada Allah supaya hati dan jiwa ini istiqomah walau badai yang melanda sebesar tsunami.




Dua semester di ipta banyak mengajar saya erti kehidupan sebenar, rupa-rupanya memang benar apa yang saya dengar dalam pengisian al-akh tentang mehnah dan tribulasi di alam ipt.




Perkara tersebut benar-benar terjadi pada diri saya. Prinsip yang mula tercalar, kalau dulu ada beberapa orang ikhwah yang selalu mengingatkan dan memeriksa handset saya.




Kini, bila di ipt masing-masing di uji dengan ujian masing-masing. Baik assignment yang berlambak dan sebagainya, jika tak kuat maka paham-pahamlah...




Saya tidak terkecuali dalam hal ini. Dalam mencari identiti di ipt dan kesesuaian saya tewas jua akhirnya dengan seorang yang bernama PEREMPUAN.




Saya sedih, marah, kecewa, sebak, terkilan, putus asa, kerana begitu lemah untuk menghadapi semua ini. Kenapa saya tidak memikirkan ikhwah dan akhwat palestin yang menderita hingga hari ini dan masih belum tahu nasib kehidupan mereka. Allahuakbar.




Kini, baru saya sedar kita jangan berharap ikhwah sahaja untuk menjaga kita. Ia juga bergantung pada diri sendiri. Inilah yang dinamakan tarbiyah dzatiyah (tarbiyah diri sendiri).




Allahuakbar ! Allahuakbar ! Allahuakbar !




“YA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG, AKU TAHU JIKA MAUT MENJEMPUTKU SEKARANG PASTI SIKSAAN AZAB MU YANG MENYELIPUTI TUBUHKU. AMPUNIKU YA ALLAH.”(Dikeheningan pagi)




“YA ALLAH YANG MAHA PENGAMPUN, KINI AKU SEDAR KEMBALI AKAN KESILAPANKU YANG LALU, AKU BERSYUKUR YANG TIDAK TERHINGGA KEPADAMU KERANA TIDAK DIBUANG DIJALAN TARBIAH INI. KAU JUGA MASIH MENGIZINKAN HATIKU INI UNTUK CINTAKAN KEBAIKAN DAN DAKWAH. WALAUPUN AKU NI ORANG YANG BERMAKSIAT KEPADAMU. BERSAKSIKAN PEMBACA BLOG INI, LAPTOP, SELURUH TUBUH AKU AKAN BERUSAHA UNTUK MEMBANTU AGAMA MU WALAUPUN AKU TAHU KAU TIDAK MEMERLUKANKU YA ALLAH. AKAN KU ISLAHKAN KEMBALI HATI YANG LALAI, HATI YANG CENDERUNG KEARAH MAKSIAT DAN HATI YANG KOTOR INI. AKU BERTAUBAT NASUHA KEPADA MU YA ALLAH. AKU BERJANJI AKAN BERUSAHA MENGISLAHKAN DIRI SERTA MEMBUAT PERBAIKAN TERHADAP DAKWAHKU DI IPT KU SELEPAS SURAM SELAMA 2 SEMESTER. SEMESTER 3 TIDAK AKAN AKU BIARKAN IA BERULANG. BERIKANLAH PETUNJUK KEPADAKU YA ALLAH. JANGANLAH KAU MENGALIHKAN PERHATIANMU TERHADAPKU. AKU MEMOHON YA ALLAH, AKU REDHO DENGAN UJIAN YANG BAKAL MENDATANG BAGI MENGHAPUS DOSA-DOSAKU YANG LALU..AMIN AMIN AMIN YA ROBBALALAMIN...”




Kali ini saya tidak lagi boleh memandang ke belakang, teruskan langkah, kuatkan tekad dan berjiwa besar. AKU HARUS MULA SEKARANG.. TAKBIR !!!




Mulai saat ini saya akan mengislah kembali diri dan tentunya saya hendak segera menikah. Tapi sebelum tu akan saya persiapkan diri dengan bekal secukupnya dulu. Maka bermulalah mujahadah saat ini.




“YA ALLAH SEKALI LAGI AKU AKAN CUBA MEMPERBAIKI DIRI SUPAYA MENJADI TERBAIK DIDEPAN MU, KURNIAKAN LAH AKU ZAUJAH YANG SOLEHAH SERTA SANGGUP BERSAMAKU UNTUK TERUS HIDUP DI JALANMU BAGI MEMBANTU DAN MEMBERI SEMANGAT KEPADAKU. SESUNGUHNYA AKU MEMERLUKAN SEORANG ZAUJAH BAGI MENEMANIKU SELAIN IKHWAH-IKHWAH. MAKA KAU YANG PALING TAHU TARIKHNYA. TETAPKANLAH AKU DAN BAKAL ZAUJAHKU DI JALANMU YA ALLAH. AKU CINTAKAN MU YA ALLAH. AKU MAHU KETEMU MU YA ALLAH. AKU MAHU KETEMU MU BERSAMA KELUARGA, ZAUJAH SERTA MEREKA YANG BERJUANG DIJALAN MU YA ALLAH. PERKENANKANLAH DOA KU YA ALLAH...”




Sekian saja coretan untuk kali ini. Moga kalian mengambil pengajaran sebaiknya. Mulalah tarbiyah dzatiyah (diri sendiri) saat ini.




Artikel di bawah saya ambil pagi tadi kerana tertarik dengannya. Maka saya ingin berkongsi dengan kalian para pembaca semua..




Artikel ini di ambil dari blog saiful islam :




http://saifulislam.com/?p=8240




“Masalah kamu dengan bos sudah selesaikah?” emak bertanya kepada Ahmad.



“Sudah” jawab si anak.



Pantas.



“Hai, senang pula selesainya. Kamu buat macam mana?” tanya emak lagi.



“Berhenti kerja!” balas Ahmad.



“Astaghfirullah! Berhenti kerja lagi? Habis kamu menganggurlah sekarang?” emak terkejut dengan jawapan anaknya itu.



Sudah banyak kali Ahmad berhenti kerja. Usia sudah lanjut. Tetapi masih kelihatannya tidak stabil. Tidak sesuai bekerja, berhenti. Tidak betah saban hari diarah, berhenti. Senang sungguh berhenti kerja. Jauh lebih senang berbanding mencari kerja baru.



“Habis, sudah ada kerjakah?” emak susah hati.



“Esok-esok ada la tu, mak!” tegas Ahmad.



Si ibu hanya mampu menggelengkan kepala. Risau memikirkan tabiat Ahmad. Anak lelaki yang seorang ini seperti masih belum pasti apa yang dimahukannya di dalam hidup. Usia sudah lanjut. Kerja masih tidak menentu.



Lebih merisaukan benak hati si ibu, tanpa wang bagaimanakah Ahmad akan berkahwin?



SUMBATAN MINDA



“Sebab itu saya tidak dapat menerima pandangan ustaz bahawa sebelum bernikah, kena pastikan terlebih dahulu ada duit untuk hantaran, mas kahwin, kenduri dan sebagainya. Bukankah ini menyalahi Sunnah?” seorang anak muda membantah pandangan saya.



“Benarkah saya bermaksud begitu?” saya menyoalnya semula.



“Itu yang ustaz sebut dan tulis!” tegas beliau.



“Wallaahi, itu tidak pernah menjadi maksud tulisan ana” saya menafikannya.



Habis, bagaimana ustaz memahami firman Allah di dalam Surah al-Nur ayat 32?” beliau memanjangkan soalan.



“Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui” [al-Nur 24: 32]



“Maksud kamu, perkahwinan memberikan kekayaan harta?” saya inginkan kepastian.



“Benar” jawab beliau.



“Berapa ramai orang yang berkahwin tetapi tidak kaya-kaya dan mati dalam kemiskinan? Sedikit atau ramai?” saya menyambung soalan.



Beliau diam.



Bagaimana mungkin seorang anak muda yang begitu idealistik dalam pemahamannya terhadap Sunnah, terus beranggapan bahawa tatkala nas menyebut tentang kekayaan, ia terus sahaja bermaksud kekayaan harta? Bukankah Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam pernah bersabda:



“Bukanlah dikatakan kaya itu sebagai banyak harta. Akan tetapi kekayaan sebenar itu adalah kekayaan jiwa” [al-Bukhari 6446]



Justeru, janji Allah untuk membantu memberikan kekayaan kepada orang yang bernikah itu mesti dilihat daripada dua sudut.



Sudut pertama, kekayaan yang dikurniakan itu berupa kekayaan jiwa dalam bentuk sifat Qana’ah. Al-Samarqandi pernah menyebut berkenaan ayat 32 Surah al-Nur itu bahawa, “kekayaan mempunyai dua keadaan. Pertama, kekayaan harta dan itu adalah selemah-lemah makna kekayaan. Kedua adalah sifat Qana’ah dan itu adalah sekuat-kuat makna Qana’ah”. Malah al-Qurtubhi juga pernah memberikan ulasan bahawa yang dikatakan nikah itu mengurniakan kekayaan kepada si miskin ialah kerana si miskin itu dianugerahkan pilihan yang HALAL iaitu NIKAH berbanding ZINA.



Oleh yang demikian, untuk mengambil Surah al-Nur ayat 32 itu sebagai jawapan simplistik bahawa kemiskinan boleh dirawat dengan nikah, seorang anak muda yang datang melenggang dengan hajat meminang, mestilah mempunyai jawapan yang jelas tentang ASBAB berupa IKHTIAR dirinya untuk mengambil alih tugas bapa yang memberi nafkah kepada perempuan yang mahu dipinangnya itu.



RAWATAN KEMISKINAN



“Mengapa kamu belum bernikah?” Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bertanya.



“Aku fakir” jawab pemuda itu.



“Mengapa kamu belum bernikah?” Baginda menyoal lagi.



“Aku fakir” pemuda itu memberikan jawapan yang sama.



“Mengapa kamu belum bernikah?” Baginda mengulang soalan yang sama buat kali yang ketiga.



Pemuda itu tidak berani mengulang jawapan yang sama.



“Ya Rasulallah. Aku memang mahu bernikah. Carikanlah buatku seorang isteri!” jawab anak muda itu.



“Kamu pergilah ke sebuah kampung di sana. Nyatakan kepada orang kampung itu bahawa Rasulullah menyuruh mereka mengahwinkan seorang anak gadis kampung itu denganmu” arah Rasulullah sallalaahu ‘alayhi wa sallam.



Pemuda itu pergi ke kampung tersebut, menyatakan mesej yang dibawanya kepada penduduk di situ. Dia kemudiannya kembali kepada Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam dengan sebuah persoalan.



“Aku tidak punya apa-apa untuk dijadikan mas kahwin” adu beliau.



“Carilah sebentuk cincin besi!” Baginda mengajar.



Sungguh unik. Seorang anak muda yang miskin, diperintahkan oleh Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam supaya bernikah. Tidakkah nikah itu memerlukan perbelanjaan? Bukankah selepas nikah, lelaki fakir itu memikul tanggungjawab memberi nafkah. Apa yang mahu disumbat ke mulut isteri?



TELADAN



Kisah pemuda itu tidak harus dipandang mudah pada sekadar bermaksud gesaan Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam agar bernikah.



Bagaimana Baginda berulang kali bertanya soalan yang sama mengapa beliau belum berkahwin? Jawapan yang diberi adalah kemiskinan. Tidak berkahwin dan miskin bukanlah masalah paling utama dalam situasi anak muda tersebut. Sebaliknya Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam mahu menolak anak muda itu KELUAR DARI ZON SELESA beliau agar:



1. Usahakan mencari calon




2. Usahakan mas kahwin walaupun sekadar sebentuk cincin besi

Kata kuncinya, BERUSAHA.



Lelaki itu kelihatannya selesa dengan keadaan dirinya yang miskin. Benar sekali dalam hidup ini, ada yang lebih susah daripada susah, iaitu BERUBAH. Sehingga ada manusia yang lebih rela untuk terus hidup susah berbanding membuat perubahan. Di dalam kes anak muda ini, NIKAH menjadi DORONGAN untuk memaksa pemuda itu membuat perubahan. Usaha cari calon. Usaha dapatkan cincin besi. Pokoknya, kamu kena bangkit berusaha.



Demikianlah perkahwinan mampu mengubah ‘nasib’ seseorang. Jika semasa bujang dia boleh membiarkan dirinya miskin melarat, bekerja bila mahu dan berhenti kerja sesuka hati, pilihan itu tidak ada bagi seorang yang bernikah dan sedar akan tanggungjawabnya. Ada mulut yang mahu disuap, justeru dia tidak sewenang-wenang membuat keputusan mudah bekerja atau menganggur, sabar dengan karenah di tempat kerja atau berhenti.



Begitulah nikah mencetus perubahan diri.



Justeru, memang wajar seorang bapa menolak pinangan anak muda yang fasih mendatangkan nas tentang tuntutan nikah, tetapi gagal menjawab satu soalan ringkas tetapi penting untuk bapa, “jika kamu bukan Nabi dan Wali yang terkecuali daripada asbab untuk mukjizat dan karamah, apa rancangan kamu untuk mengambil alih tugas aku memberi makan minum kepada anakku?”



Sekali lagi, memahami nas secara kaku menjadi sumbatan minda yang membelenggu!



Ayuh permudahkan nikah, namun jangan memudah-mudahkannya!



ABU SAIF @ www.saifulislam.com 68000 AMPANG

0 comments:

Post a Comment

TeriMa kaSih KeraNa MembAca seHinggA habis

Kepada pembaca sudikanlah diri anda memberi komen-komen yang membina bagi mengembangkan lagi idea-idea yang di sampaikan oleh penulis. Setiap komen anda di dahulukan dengan ribuan terima kasih..

Series! tabung nikah ni. lagipun ada iklan baru..klik jangan tak klik.

hehe..ape lagi..klik la..

pengunjung

Boleh dapatkan Quran di sini !!!

Generated image

Jana pendapatan dengan BLOG. Klik pada gambar

Silakan bertanya jika ada musykilah..

kod-kod makanan yang perlu dielakkan..

E100, E110, E120, E140, E141 E153, E210, E213, E214, E216, E234, E252, E270, E280,E325, E326, E327 E334 E335, E336, E337,E422, E430, E431, E432, E433, E434, E435, E436, E440, E470, E471, E472, E473, E474, E475, E476, E477, E478, E481, E482, E483, E491, E492, E493, E494, E495,E542, E570, E572,E631, E635,
E904

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails